Friday 24 January 2014

Bila mula kenal apa itu bloggi

Kalau tak sebab sebuah tugasan mungkin smpai skrg or bila2 buta psal blog.. Tp insyaAllah one fine day walaupun blog ni tidak lagi digunakan untuk tugasan seperti yang dilakukan semasa belajar dulu.. Mungkin.. Mungkin boleh digunakan untuk buat lushan perasaan.. Mungkinnnnmm

Monday 28 May 2012

DAFTAR ISTILAH SOSIOLONGUISTIK

Berikut merupakan daftar kata yang saya peroleh berkaitang dengan bidang sosiolingusitik:-

Perkataan
Definisi
Bahasa Vernakular
Penggunaan bahasa yang dipertuturkan oleh sesuatu golongan atau kaum dalam masyarakat.
Bahasa Inklusif
Bahasa yang ditempatkan di atas sesebuah bahasa atau beberapa jenis bahasa yang sedia ada (bahasa utama).
Bahasa Rasmi
Bahasa yang digunakan untuk urusan pentadbiran dan rasmi dalam sesebuah negara.
Lingua Franca
Bahasa yang terdapat dalam kawasan pertembungan bahasa yang intensif yang digunakan oleh penutur-penutur bahasa daripada pelbagai komuniti bahasa sebagai bahasa perantara sepunya dalam komunikasi.
Bahasa Pijin
Bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa.
Bahasa Kreol
Bahasa pijin yang telah menjadi bahasa pertama atau ibunda (percampuran antara bahasa penjajah dengan bahasa peribumi).
Bahasa Koine
Bahasa yang digunakan oleh semua orang dalam satu wilayah atau daerah (lingua franca).
Bahasa Eksklusif
Bahasa yang digunakan dalam kelompok tertentu sama ada dalam kelompok pekerjaan, puak atau subetnik.
Bahasa Arkaik
Bahasa kuno yang telah mati dan tidak berkembang lagi.
Bilingualisme
Seseorang yang mengetahui dan menguasai 2 bahasa serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Multilingualisme
Bahasa yang dituturkan oleh pelbagai etnik yang memiliki bahasanya sendiri.
Asimilasi
Bahasa yang digunakan oleh generasi seterusnya apabila berpindah ke tempat tersebut dan tidak lagi menggunakan bahasa ibunda mereka.
Dwiglosia/diglosia
Penggunaan 2 bahasa yang berlainan atau 2 kelainan bahasa yang mana satu bahasa itu tinggi, rasmi, dan formal, manakala bahasa yang satu lagi rendah, tidak rasmi, dan basahan.
Setia Bahasa
Sikap penutur yang positif terhadap sesuatu bahasa.
Sosiolinguistik
Kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat (dalam konteks sosial dan budaya).
Sosiologi Bahasa Deskriptif
Pola penggunaan bahasa sosial serta tingkah laku dan sikap terhadap bahasa yang diterima umum untuk rangkaian sosial dan masyarakat tertentu.
Sosiologi Bahasa Dinamik
Mengapa dan bagaimana penggunaan bahasa dan tingkah laku dalam organisasi sosial yang berlainan dalam rangkaian sosial atau masyarakat yang sama dalam dua keadaan yang berbeza.
Mikrososiolinguistik
Kajian tentang hubungan antara struktur linguistik dan struktur sosial pada paras interaksi bersemuka.
Makrolinguistik
Menumpukan perbahasan dan kerja pada populasi yang banyak, institusi kebangsaan, dan dasar bahasa di peringkat kebangsaan.

Friday 4 May 2012

SITUASI 40 : PISANG GORENG ATAU GORENG PISANG?


Pada entri saya yang terakhir ini, saya ingin berkongsi satu peristiwa yang pernah saya alami. Peristiwa berkisar tentang penggunaan hukum DM. Peristiwa ini berlaku sewaktu saya ingin membeli kuih-muih yang dijual oleh seorang makcik. Pada waktu itu terdapat dua orang pelanggan yang saya kira merupakan kawan baik. Perkara yang melucukan saya ialah persoalan yang ditimbulkan oleh mereka apabila ingin membeli pisang goreng.

Si A : Makcik saya nak goreng pisang seringgit.
Si B : Bukan goreng pisang la, tapi pisang goreng.
Si A : Eh, goreng pisang la.

           Situasi yang berlaku ini membuatkan saya terfikir, goreng ke pisang goreng. Oleh itu, saya cuba menyemak kembali maksud sebenar kedua-dua perkataan tersebut berdasarkan hukum D-M. D bermaksud yang diterangkan iaitu menjadi unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama. M pula bermaksud menerangkan dan iaitu unsur penerang yang hadir pada kedudukan kedua. Justeru, perkataan yang betul bagi ialah pisang goreng kerana ianya menunjukkan bahawa pisang itu telah digoreng. Goreng pisang itu pula bermaksud seseorang yang sedang menggoreng pisang. Kesimpulannya, situasi yang berlaku ini secara tidak langsung menambahkan pengetahuan saya mengenai hukum D-M. 
 

Thursday 3 May 2012

SITUASI 39 : BAHASA RAHSIA


Sewaktu di bangku sekolah dahulu, saya dan kawan-kawan suka menggunakan bahasa rahsia sewaktu bersembang. Bahasa rahsia merupakan bentuk bahasa yang hanya difahami oleh kami sahaja. Hal ini bermakna segala perkara yang kami perkatakan agak sukar untuk difahami oleh orang lain. Oleh itu, kami bebas untuk berbual tentang apa-apa sahaja tanpa perlu menyinggung perasaan orang lain atau diketahui orang lain. Contoh bahasa rahsia yang kami gunakan ialah:

Askusa taksa suskasa deskasa disasa.

Maksudnya:

“Aku tak suka dekat dia”

                Oleh itu, berdasarkan penggunaan bahasa rahsia, kami bebas untuk menyatakan ketidakpuasaan hati kami mengenai sesiapa sahaja tanpa rasa takut jika menyinggung perasaannya. Justeru, saya berpendapat bahawa bahasa rahsia ini sangat unik kerana hanya golongan tertentu sahaja yang dapat memahami maksud yang cuba disampaikan.

Wednesday 2 May 2012

SITUASI 38 : "TERLAJAK PERAHU BOLEH DI UNDUR, TERLAJAK KATA BURUK PADAHNYA"


“Terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya.” Peribahasa ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu. Maksud peribahasa ini ialah kita perlulah menjaga tutur kata supaya tidak mendatangkan masalah pada masa akan datang. Hal ini bermaksud, apabila kita ingin berbicara, kita kena pastikan perkara yang kita ingin katakan itu kena pada tempatnya. Oleh itu, kita sebagai orang Melayu sentiasa diingatkan supaya tidak mengumpat atau memperkata tentang keburukan seseorang kerana keadaan ini secara tidak langsung akan mengaibkan mereka dan akhirnya berlaku pemusuhan sehingga boleh memutuskan ikatan silaturrahim sesama manusia. 

Justeru, benarlah kata orang dahulu, jagalah adab sopan dan tutur kata sewaktu berbicara kerana ianya akan mendatangkan keburukan kepada diri kita pada masa akan datang. Peliharalah lidah kita daripada memperkatakan sesuatu yang tidak betul, kerana ianya boleh memporak-perandakan kehidupan kita.

Tuesday 1 May 2012

SITUASI 37 : LOGHAT


Setiap negeri di negara ini mempunyai loghat atau cara percakapan yang berbeza. Hanya orang yang berasal dari negeri itu sahaja yang kadang-kala memahami perkara yang diungkapkannya itu. Oleh itu, bagi orang yang bukan berasal dari negeri tersebut menjadi satu masalah baginya untuk memahami perkara yang sedang diperkatakan itu. Contohnya, dalam satu perkataan terdapat pelbagai cara atau bunyi perkataan itu disebut. Antaranya:


Bahasa standard
Perak
Negeri Sembilan
Utara
Kelantan
apa
apɛ
apɔ
apa
gapo
pergi
pərgi
poyi
pi
gi
awak
komə
jang
hang
demo

       Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa setiap negeri mempunyai loghat atau dialek yang berbeza. Perbezaan ini secara tidak langsung telah menunjukkan betapa uniknya Malaysia kerana mempunyai kepelbagaian bahasa.


Monday 30 April 2012

SITUASI 36 : PERANCANGAN BAHASA


Perancangan bahasa bermaksud satu usaha yang telah dilakukan untuk memupuk atau menaik taraf bahasa kepada sesuatu yang lebih maju. Perancangan bahasa ini terbahagi kepada dua iaitu perancangan taraf dan perancangan korpus.
               Perancangan taraf ialah memberikan taraf kepada bahasa Melayu iaitu menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi bahasa penyatuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi. Menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu untuk berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain.
Bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai bahasa pengantar untuk menyampaikan ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

      Perancangan korpus pula merujuk kepada campur tangan dalam bentuk-bentuk sesebuah bahasa. Perancangan korpus ini telah dilakukan  dalam bidang ejaan, peristilahan (kosa kata khusus), kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa. Contohnya:-

Pemilihan tulisan seperti Akta Bahasa 1963 telah menetapkan bahasa rumi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu.
Sistem Ejaan Rumi bahasa Melayu telah dilancarkan penggunaannya oleh YAB Tun Abdul Razak pada 16 Ogos 1972.
Sebutan baku yang telah disytiharkan penggunaannya pada tahun 1988.
Usaha untuk menambahkan perbendaharaan kata bahasa Melayu.

       Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa perancangan bahasa merupakan satu usaha untuk terus memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu supaya dikenali di mata dunia.