Monday 30 April 2012

SITUASI 36 : PERANCANGAN BAHASA


Perancangan bahasa bermaksud satu usaha yang telah dilakukan untuk memupuk atau menaik taraf bahasa kepada sesuatu yang lebih maju. Perancangan bahasa ini terbahagi kepada dua iaitu perancangan taraf dan perancangan korpus.
               Perancangan taraf ialah memberikan taraf kepada bahasa Melayu iaitu menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah menjadi bahasa penyatuan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi. Menyediakan ruang yang cukup luas bagi bahasa Melayu untuk berkembang dalam bidang-bidang profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang, ekonomi, dan lain-lain.
Bahasa Melayu juga telah dijadikan sebagai bahasa pengantar untuk menyampaikan ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

      Perancangan korpus pula merujuk kepada campur tangan dalam bentuk-bentuk sesebuah bahasa. Perancangan korpus ini telah dilakukan  dalam bidang ejaan, peristilahan (kosa kata khusus), kosa kata umum, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa. Contohnya:-

Pemilihan tulisan seperti Akta Bahasa 1963 telah menetapkan bahasa rumi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu.
Sistem Ejaan Rumi bahasa Melayu telah dilancarkan penggunaannya oleh YAB Tun Abdul Razak pada 16 Ogos 1972.
Sebutan baku yang telah disytiharkan penggunaannya pada tahun 1988.
Usaha untuk menambahkan perbendaharaan kata bahasa Melayu.

       Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa perancangan bahasa merupakan satu usaha untuk terus memartabatkan dan mengangkat bahasa Melayu supaya dikenali di mata dunia.



Friday 27 April 2012

SITUASI 35 : BAHASA SINDIRAN


Bahasa sindiran ialah perkataan yang ditujukan kepada seseorang secara berkias. Hal ini bermaksud perkara yang disampaikan kepada seseorang itu tidak dinyatakan secara terus tetapi dikias-kias atau diarahkan kepada perkara lain. Bahasa sindiran boleh diungkapkan dalam bentuk frasa, ayat, dan pantun. Biasanya, bahasa sindirian yang digunakan ini sering kali diharapkan dapat difahami oleh orang yang disindir. Contoh bahasa sindiran ialah:

“Nampak mendung sahaja hari ini, hari pun dah lama tak hujan!

Ayat di atas ditujukan kepada seseorang yang berwajah muram atau masam sahaja.

         Oleh itu, saya berpendapat bahawa bahasa sindiran ini boleh mengelakkan seseorang terasa hati apabila kita bercakap secara terus dengannya. Apabila kita menggunakan bahasa sindiran, secara tidak langsung akan melahirkan rasa lucu kepada mereka yang mendengar dan memahaminya sekiranya ayat yang digunakan tidak terlalu melampau.

Thursday 26 April 2012

SITUASI 34 : PERBEZAAN MAKSUD PERKATAAN


“What are you doing, mum?”

Perkataan ‘you’ dalam bahasa Melayu bermaksud ‘kamu atau awak.’ Oleh itu, apabila kita menukar ayat tersebut di dalam bahasa Melayu ianya akan menjadi:-

Apa yang awak sedang lakukan, mak?”

          Namun begitu, dalam bahasa Melayu kita tidak boleh menggunakan kata ganti nama diri ‘kamu’ apabila berbual dengan ibu bapa atau orang tua kerana ianya akan dianggap sebagai kurang sopan. Dalam bahasa Inggeris, penggunaan perkataan ‘you’ tidak menjadi kesalahan kerana sistem bahasanya memang sudah demikian rupa. Justeru, apabila kita ingin menukar ayat tersebut dalam bahasa Melayu, ayat tersebut akan menjadi:-

“Apa yang mak sedang lakukan?”

            Oleh itu, dalam sesuatu ayat kita haruslah mengetahui penggunaan perkataan yang digunakan itu bersesuaian dengan penutur yang akan menuturkannya.

Wednesday 25 April 2012

SITUASI 33 : UJARAN DALAM KESANTUNAN BERBAHASA


Ujaran juga merupakan kesantunan berbahasa. Perkara yang kita ujarkan sama ada secara lisan mahupun tulisan iaitu melalui pesanan ringkas (SMS) juga boleh dinilai tahap kesantunan berbahasa. Namun begitu, melalui lisan kita boleh tahu tahap kesantunan berbahasa seseorang berdasarkan nada yang digunakan. Tetapi, melalui tulisan kita tidak boleh mengetahui sama ada ujaran yang dinyatakan itu bersifat arahan atau tidak kerana tidak mempunyai nada. Contohnya seperti yang dinyatakan oleh Puan Husna sewaktu di dalam kelas, yang mana seorang pekerja mengantar SMS kepada rakan sekerjanya yang mana mereka berada dalam status sosial yang sama, iaitu:

“Minta datang ke bilik saya pada pukul 2 petang.”

             Berdasarkan ayat tersebut, ujaran yang diungkapkan itu seolah-olah satu arahan yang perlu dipatuhi sedangkan mereka adalah rakan. Oleh itu, ujaran yang sesuai digunakan ialah:

“Minta tolong datang ke bilik saya lebih kurang pukul 2 petang.”

Tuesday 24 April 2012

SITUASI 32 : RUJUKAN KEHORMAT


Rujukan kehormat termasuk juga dalam sistem sapaan dalam bahasa Melayu. Rujukan hormat ialah frasa yang digunakan untuk merujuk kepada orang-orang kehormat. Pengetahuan terhadap rujukan hormat sangat penting bagi semua orang kerana ianya juga merujuk kepada aspek kesantunan berbahasa. Sekiranya kita tersalah menggunakan rujukan kehormat, maka secara tidak langsung boleh dianggap sebagai kurang beradab. Antara contoh rujukan kehormat beserta orang yang disapa ialah:

Rujukan kehormat
Orang yang disapa
Kebawah Duli Yang Maha MuliaSeri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong
Duli Yang Maha Mulia
Sultan, Sultanah, Raja Perempuan
Yang Amat Berbahagia
Tun dan Toh Puan
Yang Berbahagia
Tan Sri, Datuk, Profesor, Doktor
Yang Arif
Hakim
Yang Amat Arif
Ketua Hakim Negara
Yang Berhormat
Wakil rakyat, menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen, Ahli Dewan Rakyat
Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri
Yang Berusaha
Ketua Jabatan tanpa gelaran

        Penggunaan rujukan kehormat yang digunakan kepada orang yang disapa perlulah betul dan tepat. Hal ini demikian kerana telah berlaku satu peristiwa yang mana pengacara majlis telah menggunakan rujukan kehormat Yang Berbahagia untuk merujuk kepada seorang ketua jabatan tanpa gelaran yang mana rujukan kehormat yang sepatutnya adalah Yang Berusaha. Setelah beliau mendengar rujukan kehormat yang diberikan kepadanya, beliau berkata bahawa ‘Selepas ini kenalah saya bertanding dalam pilihanraya’.  Merujuk kepada situasi tersebut, secara tidak langsung ianya telah mencacatkan majlis tersebut dan kemungkinan telah meyinggung perasaan orang yang disapa. Oleh itu, penggunaan rujukan kehormat yang betul perlulah dikenal pasti terlebih dahulu sebelum ianya digunakan.

Monday 23 April 2012

SITUASI 31 : RUMUS ALTERNASI DALAM KESANTUNAN BERBAHASA


Dalam rumus alternasi, seseorang akan memilih salah satu daripada pasangan seperti antara kanak-kanak atau orang dewasa, diketahui namanya atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, di dalam suasana status yang menonjol atau tidak, dan berpangkat atau tidak. Rumus alternasi ini akan saya kaitkan dengan situasi yang tidak mengamalkan kesantunan berbahasa. Oleh itu, saya telah menggunakan interaksi antara golongan muda dan golongan tua yang tidak mempunyai kesopanan dalam berbahasa.
       Golongan muda kini dilihat sudah hilang rasa homatnya kepada golongan tua. Keadaan ini berlaku tidak kira dari segi pertuturan mahupun perbuatan. Dari segi pertuturan, kita sendiri boleh lihat bagaimana orang muda menggunakan kata ganti nama diri mereka sewaktu berbicara dengan orang yang lebih tua. Contohnya:

‘Mak aku nak duit belanja lebih hari ni sebab nak beli buku’.

          Berdasarkan contoh tersebut, penggunaan kata ganti nama diri ‘aku’ itu langsung tidak sesuai digunakan apatah lagi apabila kita berbicara dengan ibu bapa kita. Bagi pendapat saya, penggunaan kata ganti nama diri ‘aku’ itu terlalu kasar dan ianya perlu ditukar dengan kata ‘saya’ yang lebih bersifat sopan.
    Dari segi perbuatan pula, situasi yang tidak mengamalkan kesantunan berbahasa adalah sewaktu menggunakan perkhidmatan awam seperti ‘LTR’ yang mana golongan muda tidak memberi laluan atau ruang untuk golongan tua  untuk duduk. Mereka lebih gemar membuat hal sendiri tanpa memperdulikan kewujudan insan lain yang lebih berhak untuk duduk. Keadaan ini jelas memaparkan sikap atau perbuatan mereka yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada golongan itu. Oleh itu, diharapkan keadaan seperti ini dapat diubah seperti bak kata pepatah ‘Yang tua dihormati, yang muda disayangi’.
                    

Friday 20 April 2012

SITUASI 30 : ‘YANG TUA DIHORMATI, YANG MUDA DISAYANGI"


‘Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi’. Berdasarkan peribahasa di atas, muncul satu persoalan dibenak fikiran saya. Adakah masih relevan lagi peribahasa tersebut digunapakai pada zaman ini? Saya berpendapat bahawa amalan yang dilakukan berdasarkan peribahasa tersebut sudah lama diabai dan terabai. Hal ini demikian kerana sikap generasi muda yang sudah hilang rasa hormat dan sopannya kepada generasi tua. Contohnya mereka akan mengeluarkan kata-kata kesat tanpa memikirkan hati dan perasaan orang yang lebih tua daripada mereka. Suasana seperti ini sering kali kita lihat dalam konteks keluarga yang mana si anak akan bersikap kurang ajar dengan ibu bapa mereka. Apabila difikirkan kembali, mana perginya sikap hormat-menghormati mereka terhadap orang tua yang sudah membesarkan mereka dengan penuh kasih-sayang sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata kesat dan meninggikan suara mereka.
                Suasana seperti ini bukan sahaja berlaku di dalam institusi keluarga, malah kita akan dapat melihat ianya berlaku di persekitaran kita. Contohnya pada zaman dahulu apabila kita ingin melintas dihadapan orang tua kita akan membongkokkan sedikit badan kita untuk menunjukkan tanda hormat. Namun kini situasi seperti itu jarang sekali untuk kita lihat yang mana yang muda akan lalu-lalang sesuka hati dihadapan orang tua tanpa ada rasa hormat.
                Adakah keadaan seperti ini akan terus berlaku? Bagaimanakah generasi pada masa akan datang akan dapat terus mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri mereka sekiranya generasi yang ada kini seolah-olah cuba untuk menghakis amalan tersebut dalam diri mereka. Justeru, saya berharap agar persepsi tersebut dapat diubah kerana kita sebagai orang Timur dikenali sebagai mereka yang kaya dengan adat dan sopan santunnya.

Thursday 19 April 2012

SITUASI 29 : PERBEZAAN ANTARA RESMI DAN RASMI


Ada kalanya saya sering kali terfikir bagaimana caranya kita ingin membezakan maksud perkataan yang seakan-akan sama sahaja sebutannya. Tapi lahiriahnya ianya sama sekali berbeza terutamanya dari segi makna. Contohnya ialah perkataan rasmi dan resmi. Bila diteliti dengan betul, kedua-dua perkataan ini memang jauh sekali berbeza antara satu sama lain dari segi ejaan mahupun makna. Tetapi apabila kita menyebutnya, ianya seakan-akan sama sahaja. Justeru, kita akan menjadi keliru tentang apakah perbezaan maksud kedua-dua perkataan tersebut?

              Rasmi didefinisikan sebagai disahkan oleh kerajaan atau yang berkuasa. Selain itu, ianya dianggap sebagai diisytiharkan oleh kerajaan atau sesuatu jabatan. Contohnya ialah:
bahasa rasmi, surat rasmi, tugas rasmi, 
dan upacara rasmi

           Resmi pula didefiniskan sebagai sifat semula jadi atau sifat khas yang diberikan kepada benda, adat perangai, dan tabiat. Contohnya ialah:
“Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk”
“jangan ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak”

        Oleh itu, berdasarkan definisi dan contoh yang diberikan, maka diharapkan tiada lagi kekeliruan yang timbul mengenai perbezaan ‘rasmi’ dan ‘resmi’. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa betapa berbezanya kedua-dua perkataan tersebut dalam konteks makna dan penggunaannya.

Wednesday 18 April 2012

Situasi 28 : Homograf


Kita sering kali keliru untuk menyebut perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi membawa makna yang berbeza. Perkataan yang mempunyai ejaan yang sama mempunyai sebutan dan makna yang berbeza dikenali sebagai homograf. Pemasalahan timbul apabila kita sukar untuk membaca perkataan tersebut sekiranya kita tidak membacanya secara menyeluruh kerana jika kita tidak berbuat demikian, maka mesej yang ingin disampaikan tidak akan kita fahami. Namun begitu, dari segi lisan masalah seperti ini tidak akan timbul kerana ianya  memang sangat berbeza dan kita sendiri boleh membezakannya walaupun mempunyai ejaan yang sama. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa dari segi tulisan perkataan yang tergolong dalam homograf ini memang sukar untuk difahami berbanding lisan. Hal ini demikian kerana ianya sama dari segi perkataan dan berbeza dari segi sebutan. Justeru, ianya sangat mudah untuk dikenal pasti apabila perkataan tersebut disebut. Contoh perkataan yang tergolong dalam homograf ialah:
   
  1) Sepak      
                                        
          perbuatan menendang              perbuatan menampar 
                    
 2)  Rendang            
         
                    nama masakan                         pohon yang rimbun

  3) Semak                               
                                  
          periksa dengan teliti                         kawasan belukar

  4) Perang               
          
                   sengketa                                                warna