Bahasa badan juga dikenali sebagai komunikasi bukan lisan atau komunikasi nonverbal. Apa itu bahasa badan? Bahasa badan termasuklah gerak-geri seseorang, roman muka, gerak mata, sentuhan, suara, dan kadar kelajuan kita bercakap. Terdapat pendapat yang menyatakan bahawa lebih baik kita mempercayai seseorang itu melalui bahasa badannya dan bukan perkara yang disampaikannya. Hal ini demikian kerana pengucapan seseorang itu bukan 100% boleh dipercayai berbanding bahasa badan yang ditunjukkan.
Contohnya, apabila kita cuba mengajak seseorang untuk melakukan perkara yang tidak diingininya, kita dapat melihat sama ada seseorang itu setuju atau tidak melalui bahasa badannya walaupun dirinya menyatakan ‘ya’. Oleh itu, menjadi satu perkara yang penting bagi kita untuk mempelajari atau memahami bahasa badan. Hal ini demikian kerana kita dapat melihat respons yang diberikan selain dapat belajar mengawal bahasa badan kita sendiri kerana mahu berkomunikasi dengan lebih efektif lagi.
Selain itu, terdapat pendapat yang menyatakan bahawa kita dapat melihat perubahan yang berlaku kepada seseorang melalui bahasa badannya. Contohnya, apabila seseorang cuba melindungi mulutnya apabila dia sedang bercakap, hal ini bermaksud seseorang itu tidak yakin dengan perkara yang disampaikan, memutar belitkan perkara, dan berdusta. Seseorang yang berpeluk tubuh apabila kita sedang berbicara dengannya bermaksud orang tersebut tidak akan menerima apa-apa yang kita sampaikan. Justeru, saya berpendapat bahawa pemahaman kita terhadap bahasa badan sangat penting agar kita dapat melihat gerak-geri yang cuba disampaikan oleh seseorang melalui bahasa bandannya.
No comments:
Post a Comment