Monday, 16 April 2012

Situasi 26 : Bahasa Melayu Bahasa Kita


Kini, penggunaan bahasa Inggeris dari pelbagai aspek sangat dititikberatkan berbanding dengan bahasa Melayu. Kenapa hal sedemikian boleh berlaku? Hal ini berlaku mungkin disebabkan negara ini yang terlalu ingin untuk mengangkat bahasa Inggeris kerana ianya dianggap sebagai bahasa antarabangsa. Dalam pelbagai urusan yang melibatkan hubungan dengan negara luar seperti negara-negara Eropah, bahasa Inggeris telah digunakan sebagai bahasa komunikasi untuk berinteraksi antara satu sama lain. Oleh itu, bahasa Inggeris lebih diberi keutamaan dalam semua urusan. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyukarkan usaha kita untuk memartabatkan bahasa Melayu. Dahulu, penggunaan bahasa Melayu sangat diberi keutamaan, namun kini ianya telah berubah kerana bahasa Inggeris lebih diberi fokus.

                Hal ini telah dinyatakan oleh Prof. Dr. Teo Kok Seong dalam forum bahasa Melayu yang bertajuk ‘Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Konteks Pendidikan di Sekolah’ yang telah berlangsung baru-baru ini. Menurut beliau, dahulu nama yang diberikan oleh syarikat Proton kepada kereta keluarannya lebih kepada unsur kemelayuan, namun ianya lebih kepada penggunaan bahasa Inggeris pada ketika ini. Contohnya, pada zaman dahulu, nama kereta hasil keluaran Proton ialah Saga, Wira, Perdana, Satria, Iswara, Tiara, dan Waja. Tetapi, nama yang diberikan kepada kereta keluaran Proton pada zaman ini dikatakan lebih gah. Antaranya, Proton Gen-2, Pesona, Exora, Satria Neo, dan Savvy. Melihat sahaja kepada namanya kita sudah tahu adanya pengaruh Inggeris. Hal ini berlaku kerana mereka menganggap bahawa penggunaan nama yang berunsur keinggerisan ini lebih maju dan moden.

                Oleh itu, saya berpendapat bahawa tidak salah sekiranya kita menggunakan bahasa Inggeris, namun penggunaan bahasa Melayu tidak seharusnya diabaikan. Kita tidak boleh menganggap penggunaan bahasa Melayu dalam hasil keluaran anak tempatan sebagai ketinggalan zaman, kerana jika bukan kita yang menggangkat bahasa Melayu siapa lagi yang mengenalnya di mata dunia.   
                                                                                    
               

No comments:

Post a Comment