Monday, 2 April 2012

Situasi 21 : Ruang lingkup ungkapan


Masyarakat Melayu sangat kaya dengan ungkapan-ungkapan atau kata-kata hikmah yang memberi pengajaran dan teladan kepada masyarakatnya. Ungkapan-ungkapan tersebut kebanyakannya mengandungi unsur-unsur alam yang sangat indah sekiranya kita dapat menghayati dan memahami maksud disebaliknya. Ungkapan-ungkapan itu digunakan bertujuan untuk menegur seseorang dengan menggunakan kata tersirat agar tidak menyinggung perasaan orang tersebut. Terdapat pelbagai jenis ruang lingkup ungkapan. Antaranya:
  
a)Bidalan
Bidalan merupakan bahasa kiasan yang digunakan untuk melahirkan fikiran yang tajam, tepat, mengandungi perbandingan, teladan, pengajaran, nasihat, dan kata-kata hikmat (http://www.scribd.com/doc/22596439/Bidalan). Contohnya:
                Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam
               jangan diduga

b)Pepatah-petitih
Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah (http://ms.wikipedia.org/wiki/Pepatah). Menurut Za’ba, pepatah tergolong dalam peribahasa yang bererti selapis dan mempunyai sifat yang bernas, iaitu memberatkan sifat ringkas dan bijak sesunannya. Contohnya:
                Alah bisa tegal biasa

c)Kata-kata pujangga
Kata-kata pujangga merupakan kata-kata yang diungkapkan oleh orang yang bijaksana. Kata-kata ini berfungsi sebagai panduan hidup dan menjadi percakapan umum. Kata-kata pujangga ini dilafazkan oleh tokoh-tokoh atau orang yang terkenal (http://www.scribd.com/doc/13985018/Mutiara-Kata-Pujangga). Contohnya:
                Imam al-Ghazali berkata: “RAJIN adalah
                penawar yang paling mujarab, sedang MALAS   
                adalah racun yang sangat berbisa.

d)Hadis Melayu
Hadith atau hadis (bahasa Arab: alhadīth "الحديث" mufrad, ahādīth "أحاديث" jamak) adalah laporan perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan perkara yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi), dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran (http://ms.wikipedia.org/wiki/Hadis). Contohnya:
                "Sesungguhnya setiap amalan itu dikira dengan
                 niat dan sesungguhnya bagi tiap-tiap seseorang
                 itu mengikut apa yang diniatkannya" (Hadis
                 Riwayat Bukhari).

e)Perbilangan
Menurut Aripin Said (1996), perbilangan adat adalah sebagai gundalan adat, iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat dalam kalangan mereka yang memakai Adat Pepatih. Contohnya:
                 Adat bersendi hukum
                 Hukum bersendi Kitabullah
                 Kuat adat, tak gaduhkan hukum
                 Kuat hukum, tak gaduhkan adat
                 Ikut hukum, muafakat
                 Ikut adat muafakat.

f)Gurindam
Definisi Gurindam ialah satu bentuk puisi melayu yang terdiri daripada dua baris yang berpasangan, bersajak atau berirama dan memberi idea yang lengkap atau sempurna dalam pasangannya. Baris pertama gurindam dipanggil syarat(protasis) dan baris kedua dipanggil jawab(apodotis) (http://www.slideboom.com/presentations/64063/GURINDAM). Contohnya:
                 Jangan takut dan gentar,
                 Mati hanya sekali,
                 Jangan bertukar berkisar,
                 Tetap di lapangan mengendali.

g)Seloka
Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama ataupun tidak (http://resam-melayu.com/2010/01/seloka-melayu.html). Contohnya:
          Seloka Pak Kaduk

       Aduhai malang Pak Kaduk,
       Ayamnya menang kampung tergadai,
      Ada nasi dicurahkan,
      Awak pulang kebuluran,
      Mudik menongkah surut,
      Hilir menongkah pasang,
      Ada isteri dibunuh,
      Nyaris mati oleh tak makan,
     Masa belayar kematian angin,
     Sauh dilabuh bayu berpuput,
     Ada rumah bertandang duduk.

h)Tamsil
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002:1362), tamsil ialah persamaan sebagai umpama (misal), misalan dan contoh yang mengandungi pengajaran dan teladan. Contohnya:
                Bawa resmi padi, makin berisi makin menunduk.

i)Peribahasa
Menurut Luqman Ariffin dan Abu Khair Atan (2001), peribahasa mencerminkan ketajaman renungan dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala gerak laku manusia dan alam sekeliling. Contohnya:
                Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah
                di tepi pantai.

j)Simpulan bahasa
Menurut Abdullah Hussein (1990), simpulan bahasa ialah perkataan atau kelompok perkataan yang tertentu untuk menyatakan sesuatu maksud lain daripada erti yang lazim. Contohnya:
                Anak emas, buah hati

k)Ibarat
Ibarat mempunyai maksud berlapis, iaitu maksud tersurat berbeza dengan maksud yang tersirat. Ianya sering digunakan untuk menyindir. Contohnya:
                Agama itu ibarat suatu suluh bagi menunjukkan
               jalan yang lurus dan selamat

l)Perumpamaan
Menurut Awang Had Salleh dan Abdul Razak Abu (1990:187), perumpamaan adalah susunan kata dalam sesuatu ayat yang memberi makna khas berlainan daripada perkara yang diucapkan atau ditulis dalam ayat itu. Contohnya:
                Bagai tanduk bersendi gading


No comments:

Post a Comment