Friday, 30 March 2012

Situasi 20 : Bahasa istana


Mempunyai pengetahuan umum dalam penggunaan bahasa istana sangat penting bagi semua orang. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan kesalahfahaman atau mewujudkan sikap kurang sopan apabila berhadapan dengan kaum kerabat diraja sekiranya kita salah dalam penggunaan bahasa istana.
               Bahasa istana ialah variasi bahasa yang digunakan khusus untuk golongan diraja. Variasi bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa dalam. Penggunaan bahasa ini bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara golongan diraja dengan orang biasa. Hal ini demikian kerana bahasa istana ini digunakan oleh orang kebanyakan untuk berhubung dengan kerabat diraja. Bahasa yang digunakan sewaktu berkomunikasi bersifat lembut, lunak, beradat, dan terhormat. Antara contoh bahasa istana ialah:

           Bahasa biasa               Bahasa istana
          kata/perintah                     titah
                mandi                        bersiram
             saya(raja)                        beta
      saya (rakyat biasa)                 patik
 dia (rakyat menyapa raja)         baginda
                maaf                      ampun kurnia
         meninggal dunia                mangkat
    
               Oleh itu, bahasa istana sangat penting dititikberatkan sewaktu berkomunikasi antara orang kebanyakan dengan kerabat diraja kerana ianya bertujuan untuk menunjukkan tanda hormat kita kepada mereka. Semasa rakyat bertemu dengan kerabat diraja, ciri pemulukan atau perbuatan menyanjung raja untuk meletakkan baginda pada tahap yang tinggi sangat dititikberatkan. Antara contoh pemulukan ialah Duli Yang Di-Pertua, Duli Yang Maha Mulia, dan Ke Bawah Duli. Justeru, sifat apabila kita bersemuka dengan kerabat diraja kita haruslah menggunakan bahasa istana yang betul untuk menunjukkan taat setia dan tanda hormat.

Thursday, 29 March 2012

Situasi 19 : Bahasa kedua


Setelah seseorang itu memperoleh bahasa pertama iaitu bahasa ibunda, seseorang itu pasti akan memperoleh bahasa kedua. Apakah yang dimaksudkan dengan bahasa kedua?

               Bahasa kedua ialah bahasa yang telah diperlajari setelah mempunyai bahasa pertama. Bahasa kedua negara kita Malaysia ialah bahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana segala urusan rasmi negara digunakan dalam bahasa Melayu, tetapi penggunaan bahasa Inggeris juga turut diutamakan dalam urusan tertentu
               Bahasa kedua masyarakat Melayu merupakan bahasa Inggeris. Keadaan ini berlaku kerana setelah menguasai bahasa Melayu, mereka diwajibkan untuk menguasai bahasa Inggeris terutamanya di sekolah. Selain itu, apabila seseorang itu boleh menguasai lebih daripada satu bahasa, maka bahasa yang dikuasainya itu selain daripada bahasa ibunda dikategorikan sebagai bahasa kedua. Bahasa ketiga, keempat atau lain-lain bahasa yang dipelajarinya, tetap diketagorikan sebagai bahasa kedua.
               Seperti yang kita ketahui, penguasaan bahasa pertama berlaku secara semula jadi sejak kecil lagi. Berbeza pula dengan bahasa kedua yang mana kita perlu mempelajarinya secara formal dan memerlukan latihan pengukuhan secara berterusan untuk membolehkan kita menguasai bahasa tersebut. Penguasaan bahasa kedua bagi penutur asli seperti masyarakat Melayu bukanlah satu perkara yang mudah kerana ianya perlu dipelajari dengan bersungguh-sungguh di samping latihan pengukuhan secara berterusa.
               Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa penguasaan bahasa kedua sangat dititikberatkan dalam masyarakat Melayu terutamanya. Hal ini demikian kerana bahasa kedua masyarakat Melayu iaitu bahasa Inggeris telah dikategorikan sebagai bahasa antarabangsa disebabkan kebanyakan urusan pertadbiran antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris. Justeru, tidak salah untuk kita menguasai bahasa kedua kerana  penguasaan lebih daripada satu bahasa akan menunjukkan seseorang itu tinggi dengan ilmunya
.

Wednesday, 28 March 2012

Situasi 18 : Bahasa pertama

Bahasa yang pertama kali kita pelajari dalam hidup kita dikenali sebagai bahasa pertama. Bahasa pertama merupakan bahasa ibunda yang mula-mula dipelajari sejak kecil. Bahasa pertama juga merupakan bahasa yang kita dengar serta amalkan sehari-hari. Bahasa pertama ini sering kali digunakan untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan masyarakat setempat. Mereka yang menuturkan bahasa pertama ini dikenali sebagai penutur asli. Contohnya, masyarakat Melayu bahasa pertamanya ialah bahasa Melayu, manakala masyarakat Cina bahasa pertamanya ialah bahasa Cina dan begitu juga sebaliknya bagi masyarakat lain. Bahasa pertama ini diperoleh tanpa disedari atau dipelajari secara formal sebaliknya diperoleh dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat setempat mahupun ahli keluarga. Bahasa ibunda negara iaitu Malaysia ialah bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa lingua franca, bahasa rasmi, serta bahasa perpaduan.

               Sejak lahir lagi bayi telah mempunyai  satu kebolehan menggunakan bahasa. Walaupun ianya memulakan hidup tanpa bahasa tetapi pemerolehan bahasa itu berlaku sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat mengikut perkembangan otaknya. Penguasaan bahasa oleh seseorang kanak-kanak secara tidak langsung dan dikatakan aktif berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 2-6 tahun. Pemerolehan bahasa pertama (B1) terjadi apabila kanak-kanak yang pada mulanya tidak mempunyai bahasa tetapi kini telah memperoleh satu bahasa. Pada masa pemerolehan bahasa ( B1 ), kanak-kanak  lebih terarah kepada fungsi komunikasi daripada bentuk bahasanya. Kanak-kanak memperoleh bahasa pertama secara semulajadi, pengaruh persekitaran serta pengaruh sosial. Kanak-kanak juga dikatakan memperoleh sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari sacara langsung tidak melalui pendidikan secara formal sebaliknya diperoleh dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat.

               Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa bahasa pertama ini merupakan bahasa yang sudah dikuasai dengan begitu fasih oleh penutur asli. Kebanyakan penutur asli ini akan mempertahankan bahasa pertamanya dan kalau boleh ke mana sahaja dia berada dia akan cuba untuk menggunakan bahasa pertamanya. Mereka yang berbangga dengan bahasa pertamanya ini akan tertarik untuk memelihara budayanya serta lebih berminat pada bahasa umumnya dan hanya akan memperlajari bahasa lain jika perlu sahaja.


Tuesday, 27 March 2012

Situasi 17 : Bahasa basahan


Sedar atau tidak, bahasa sehari-hari yang kita gunakan dalam kehidupan seharian dikenali sebagai bahasa basahan. Apa itu bahasa basahan?
              
               Bahasa basahan ialah bentuk bahasa pertuturan seharian dalam konteks tidak rasmi. Semasa penggunaan bahasa basahan, aspek tatabahasa atau kegramatisan ayat tidak dipentingkan kerana ianya dipengaruhi oleh bahasa-bahasa daerah atau loghat. Unsur yang dipentingkan dalam bahasa basahan ini ialah kefahaman antara pendengar dan penutur. Istilah lain bagi bahasa basahan ialah bahasa kolokial, bahasa bersama dan bahasa biasa.

               Bahasa basahan yang digunakan dalam bentuk lisan berlaku apabila komunikasi wujud secara terus antara dua orang dengan menggunakan bahasa pertuturan dalam kehidupan seharian. Manakala dalam dalam bentuk tulisan pula, bahasa basahan ditulis secara ringkas dan tidak mengikut ejaan sepenuhnya. Oleh itu, bahasa basahan dikatakan sebagai bahasa yang dapat mewujudkan kemesraan antara satu sama lain kerana biasanya tajuk perbualan berkisar kepada perkara-perkara yang ringan serta mudah difahami. Antara contoh bahasa basahan ialah nak, tak, dah, kecik, pulak, amek, dak, dan sebagainya.

Monday, 26 March 2012

Situasi 16 : Perbezaan dialek


Dialek ialah suatu bentuk bahasa yang berbeza daripada bahasa standard. Dialek juga berbeza daripada bahasa baku yang digunakan dalam situasi rasmi kerana dialek digunakan dalam situasi-situasi lain yang tidak rasmi seperti dalam perhubungan kekeluargaan dan pergaulan seharian. Dialek dapat dibahagikan kepada 3 iaitu dialek sosial, dialek daerah, dan dialek seketika. Dialek sosial ialah dialek yang dituturkan mengikut kelas sosial penutur. Dialek daerah pula ialah dialek yang dituturkan oleh kumpulan manusia dalam satu-satu kawasan geografi. Dialek seketika dilihat dari segi zaman.

               Antara satu daerah dengan satu daerah yang lain mempunyai dialek yang berbeza. Contohnya ialah dialek Utara, dialek Perak, dialek Selatan, dialek Negeri Sembilan, dialek Kelantan, dialek Pahang, dialek Terengganu, dialek Sabah, dan dialek Sarawak. Perbandingan antara dialek dapat dilihat dengan jelas terutamanya apabila kita membandingkan dua dialek yang ternyata berbeza sama sekali. Oleh itu, perbandingan dialek yang ingin saya buat ialah dialek Perak dan dialek Kelantan. Perbezaan ini dapat dilihat dari segi:-

a) Kata ganti nama diri
Bahasa standard         Dialek Perak      Dialek Kelantan
        saya                         təman                 ambo
        awak                          mikə                   mu

b) Fonologi
Bahasa standard         Dialek Perak       Dialek Kelantan
        ular                           ulo                        ula
       beras                        bəgheh                 bəghah
       makan                       makan                   make

c) Kosa kata
Bahasa standard        Dialek Perak        Dialek Kelantan
     pepatung                  cakcibo               putiŋ  bəliuŋ 
   pergi kenduri            pərgi paŋgil               makə gula

               Oleh itu, dapat dilihat dengan jelas perbezaan antara dialek Perak dengan dialek Kelantan. Perbezaan sangat ketara ini menunjukkan betapa kaya dan keeplbagaian jenis variasi bahasa Melayu.

Friday, 23 March 2012

Situasi 15 : Bahasa kasar


Kini, penggunaan bahasa kasar kerap kali kita dengari tidak kira di mana sahaja kita berada. Hal ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan bahasa di negara kita sudah semakin teruk kerana generasi muda lebih suka menggunakan bahasa kasar sewaktu berinteraksi antara satu sama lain.

              Bahasa kasar merupakan bahasa yang digunakan oleh penutur yang tidak mementingkan amalan sopan santun dalam proses berbahasa. Bahasa ini dituturkan dengan menggunakan kata-kata kasar yang akan menyinggung perasaan orang yang di lawan bercakap. Apabila bahasa kasar dituturkan, maka seseorang itu secara tidak langsung akan dikatakan sebagai seorang yang tidak mementingkan nilai kesantunan dalam berbahasa di samping tidak menghormati orang lain ketika berbicara. Antara contoh bahasa kasar ialah bodoh, kepala otak, kurang ajar, dan sebagainya.

           Sebagai orang Melayu yang mementingkan budi bahasa dalam pertuturan mahupun perbuatan tidak seharusnya menggunakan atau mengamalkan bahasa kasar dalam kehidupan seharian. Saya berpendapat bahawa, penggunaan bahasa kasar dalam kalangan generasi muda ini semakin berleluasa disebabkan oleh pergaulan bebas yang diamalkan. Apabila terdapat rakan yang sering menggunakan bahasa kasar, secara tidak langsung ianya akan turut mempengaruhi rakannya yang lain. Oleh itu, generasi muda kini perlulah bijak memilih rakan dan menjaga adab-adab ketika berbicara kerana penggunaan bahasa kasar akan menyebabkan masyarakat memandang serong terdapat diri kita. 

Thursday, 22 March 2012

Situasi 14 : Bahasa halus


Apabila kita ingin mengungkapkan sesuatu perkara tanpa menyinggung perasaan seseorang, kita haruslah bijak menggunakan perkataan yang sesuai dengan keadaan yang berlaku. Oleh hal yang demikian, bahasa halus digunakan untuk menjaga hati seseorang.

            Bahasa halus ialah suatu sistem bahasa yang beradat, bersopan santun, dan berbudaya tinggi. Perkataan yang digunakan melambangkan kesopanan dan bernilai tinggi serta lengkap dengan sistem nahu. Bahasa halus juga menggunakan kata ganti nama yang lengkap dan bersopan serta menggunakan nada pengucapan yang rendah, lembut dan menimbulkan kemesraan. Dalam surat-menyurat antara ahli keluarga, bahasa halus digunakan dalam kata ganti nama diri. Antaranya ialah nenda, ayahanda, bonda, kekanda, dan adinda. Tujuannya ialah untuk menghormati orang tersebut.

          Selain itu, dalam bahasa halus penggunaan bahasa kiasan dan peribahasa turut digunakan untuk menyatakan sesuatu yang kurang manis. Bahasa kiasan yang sering digunakan dalam bahasa halus ialah kiasan pemanis. Contohnya:
Mati – meninggal dunia
Dikuburkan – dikebumikan
Bunting – berbadan dua

               Bahasa halus ini digunakan bertujuan untuk menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap, mewujudkan kemesraan, serta menghormati peraturan adat istiadat. Oleh itu, penggunaan bahasa halus secara tidak langsung membolehkan kita menjaga hati seseorang sewaktu berkomunikasi di samping mewujudkan rasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Wednesday, 21 March 2012

Situasi 13 : Bahasa terbalik


Bahasa terbalik ialah bahasa yang menggunakan perkataan berakas (terbalik) daripada maksud yang dikehendaki dan orang faham akan maksudnya. Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa bahasa terbalik ini sebagai bahasa yang mempunyai maksud yang bertentangan dengan perkara yang hendak disampaikan. Sekiranya orang yang dilawan bercakap tidak memahami maksud bahasa tersebut, mesej yang hendak disampaikan tidak berjaya. Seperti yang kita ketahui, bahasa terbalik ini sering diungkapkan oleh orang Melayu terutama bagi mereka yang duduk di kampung. Bahasa ini sering digunakan bertujuan untuk melarang atau mencegah seseorang itu daripada melakukan perkara yang dilarang. Perkara yang ingin disampaikan itu diungkapkan secara terbalik agar seseorang itu berasa ragu-ragu atau tersindir dengan perbuatan yang dilakukan

               Bahasa terbalik ini sering kali kita dengar terutama apabila emak kita cuba melarang perkara yang ingin dilakukan tetapi bahasa larangan yang digunakan itu seolah-olah menggalakkan kita untuk melakukan perkara tersebut. Secara lumrahnya, apabila orang dewasa melarang kanak-kanak untuk tidak melakukan perbuatan yang dilarang itu, mereka tetap berdegil dan terus melakukannya. Namun begitu, apabila menggunakan bahasa terbalik, secara tidak langsung mereka akan berhenti daripada melakukan perbuatan tersebut.

               Contohnya ialah apabila ibu bapa melarang anak-anak keluar dari rumah, mereka akan menyatakan ‘kenapa tak keluar hari ni?’ bukan ‘jangan keluar hari ni’ kerana apabila kita menggunakan perkataan ‘jangan’ mereka tetap berdegil dan akan keluar. Namun, apabila kita menggunakan perkataan yang seolah-olah menggalakkan mereka untuk keluar dari rumah, secara tidak langsung mereka akan duduk sahaja di rumah. Begitu juga apabila ibu bapa melarang kita untuk tidak lagi memanjat pokok apabila telah jatuh dengan menyatakan ‘pergi la panjat lagi pokok tu.’

               Oleh itu, saya berpendapat bahawa orang Melayu ini sangat kaya dengan bahasanya kerana berdasarkan bahasa yang digunakan itu dapat mengubah tingkah laku seseorang. Jika kita melarang dengan cara yang baik tetapi tidak di ambil peduli, maka dengan cara yang bertentangan akan dapat mengubah perbuatan tersebut.


Tuesday, 20 March 2012

Situasi 12 : Bahasa kiasan





Apa itu bahasa kiasan?

Bahasa kiasan ialah perkataan atau ungkapan yang digunakan dalam makna yang berlainan daripada makna sebenar atau makna biasa perkataan itu. Terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa bahasa kiasan merupakan satu bentuk bahasa yang istimewa sifatnya kerana bahasa ini digunakan sebagai bahasa berlapik, yakni bahasa yang mempunyai maksud tersirat sebangai bandingan. Oleh itu, bahasa kiasan yang digunakan ini mempunyai makna disebaliknya yang perlu difahami dan dihayati dengan betul. Antara contoh bahasa kiasan ialah peribahasa, simpulan bahasa, bidalan, pepatah, perbilangan, dan perumpamaan.

               Bahasa kiasan sering kali digunakan oleh masyarakat untuk menggambarkan sesuatu perkara dengan perkara-perkara yang indah serta menyindir seseorang itu dengan menggunakan kata-kata tersirat. Namun begitu, apabila kita menghayati bahasa kiasan dengan betul, secara tidak langsung kita dapat mengetahui betapa indah dan uniknya bahasa kiasan itu. Selain itu, melalui penggunaan bahasa kiasan kita dapat menyindir seseorang itu dengan menggunakan kata-kata yang baik tanpa menyinggung perasaan seseorang itu. Antara contoh ayat yang menggunakan bahasa kiasan ialah:-

Hitam bagai buntut belanga (perihal keburukan seseorang)
Puteri lilin(perempuan yang tidak tahan panas)
Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula(seseorang yang telah tahu perihal sesuatu perkara tetapi berpura-pura tidak mengetahuinya.  

               Oleh itu, dapat saya simpulkan bahawa bahasa kiasan merupakan satu bahasa yang sangat indah jika kita tahu fungsinya. Penggunaan unsur-unsur yang indah dalam mengungkapkan sesuatu perkara itu akan menjadikan perkara yang ingin kita sampaikan itu menjadi lebih menarik di samping penggunaan unsur-unsur alam semulajadi dalam 
penggunaannya. Justeru, saya  generasi kini dan akan datang haruslah dapat terus mengaplikasikan penggunaan bahasa kiasan dalam kehidupan seharian disebabkan penggunaan bahasanya yang cukup menarik dan indah.

Monday, 19 March 2012

Situasi 11 : Bahasa iklan


Perkataan ‘iklan’ berasal daripada bahasa Arab l’lan yang membawa makna memberitahu atau memaklumkan supaya diketahui oleh semua orang. Bahasa iklan yang digunakan di negara ini telah ditetapkan dengan menggunakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Hal ini termaktub dalam Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 yang terkandung dalam Akta Kerajaan Tempat 1976 iaitu sesuatu iklan hendaklah dalam bahasa Malaysia sama ada dengan sendirinya atau bersama-sama bahasa lain. Oleh itu, dalam bahasa iklan penggunaan bahasa yang betul sangat dititikberatkan seiring dengan seruan kerajaan yang memartabatkan bahasa Melayu di negera ini diutamakan penggunaannya baik dalam sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, keadaan sebaliknya yang berlaku yang mana penggunaan bahasa dalam bahasa iklan diabaikan dan ianya dengan sewenang-wenangnya digunakan sama ada di letakkan sebagai papan tanda di tepi jalan serta dihebahkan melalui media cetak dan media elektronik. Contohnya:- 
Rajah 1


Rajah 2
      
             Berdasarkan Rajah 1 dapat kita lihat bahawa 100% bahasa yang digunakan dalam iklan tersebut adalah bahasa Inggeris. Seperti yang kita sedia maklum, undang-undang telah menetapkan bahawa iklan haruslah menggunakan bahasa Melayu. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyukarkan usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Selain itu, berdasarkan Rajah 2 dapat kita lihat kesalahan penggunaan bahasa Melayu. Iklan yang menggunakan ayat ‘pembekal jenis buah-buahan’ sama sekali salah dalam sistem bahasa Melayu dan ayat yang sepatutnya ialah ‘pembekal buah-buahan’. Hal ini belum lagi ditambah dengan penggunaan bahasa yang digunakan dalam iklan di surat khabar mahupun media massa.

               Oleh itu, saya berpendapat bahawa keadaan seperti ini tidak seharusnya berlaku dan pihak yang berkaitan perlulah mengambil berat akan masalah ini. Jika perkara ini tidak di atasi, maka usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu akan menjadi satu usaha yang sia-sia. Apabila terdapat kesalahan dalam bahasa iklan, maka langkah yang sewajarnya perlu di ambil dan iklan yang dipaparkan itu perlu ditarik balik.  

Friday, 16 March 2012

Situasi 10 : Gelaran kurniaan


      Menurut Wikipedia Ensiklopedia bebas, gelaran merupakan suatu kata awalan atau akhiran yang ditambah kepada nama seseorang sama ada menandakan darjah kebesaran atau kedudukan seseorang secara rasmi tidak kira ianya merupakan kelayakan profesional atau akademik. Gelaran kurniaan pula merupakan satu gelaran yang diperoleh hasil daripada pencapaian dan sumbangan seseorang. Gelaran yang diperoleh oleh seseorang hasil daripada kejayaannya dalam bidang akademik atau ikhtisas dikenaki sebagai gelaran kurniaan ikhtisas. Contohnya ialah Profesor Diraja, Profesor Emeritus, Profesor, Profesor Madya, Doktor, Cikgu, Ustaz atau Ustazah.

         Bagi sesetengah orang yang menerima gelaran kurniaan ini mereka sangat mengambil berat terhadap gelaran yang diperolehnya. Oleh itu, kita perlulah berhati-hati dan mengenalpasti terlebih dahulu gelaran seseorang sebelum kita menggunakannya kerana ianya sangat sensitif bagi sesetengah orang kerana mereka beranggapan bahawa jika kita tersalah memberi gelaran, kita dikatakan seolah-olah menyindir orang tersebut. Namun begitu, terdapat juga sebilangan daripada mereka yang tidak kisah dengan gelaran yang diberikan. 

            Oleh itu, saya berpendapat bahawa bagi menghormati seseorang itu terutamanya pensyarah kita perlulah mengetahui gelaran yang diberikan atas kejayaannya dalam bidang akademik kerana bagi memperoleh gelaran tersebut memerlukan usaha yang sangat besar. Justeru, bagi menghargai usahanya itu kita perlulah bijak untuk berbicara dengan menggunakan gelaran yang sebetul-betulnya.

Thursday, 15 March 2012

Situasi 9: Bahasa pasar


Apa itu bahasa pasar?

Bahasa pasar ialah bahasa basahan sehari-hari dalam urusan seharian yang pada kebiasaannya wujud percampuran dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil. Bahasa pasar juga dikatakan sebagai bahasa yang tidak gramatis kerana mengabaikan hukum DM. Kebiasaannya, bahasa pasar ini sering dituturkan dalam masyarakat sewaktu orang Melayu berbual dengan orang Cina ataupun India. Keadaan ini berlaku disebabkan bahasa yang digunakan oleh orang Melayu itu dicampur-adukan dengan unsur bahasa Cina atau bahasa Tamil. Situasi yang sama juga berlaku apabila orang Cina dan orang India bertutur dalam bahasa Melayu. Contoh bahasa pasar ialah:

"Saya boleh ajar apa macam menjaga itu budak: tidak lama dia nanti cukup baik dan sihat. Pertama-pertama itu budak kecil mesti selalu cukup bersih. Nas boleh tunjuk apa macam mahu kasi mandi itu budak. Lagi satu mesti ingat-ingat kasi itu budak makan dia punya emak punya susu saja, jangan susu lain. Itu emak punya susu dia punya makan yang lebih baik sekali, lagi bersih dan senang boleh dapat, tidak kena belanja."
(Petikan daripada Pelita Bahasa Melayu)

         Akibat daripada penggunaan bahasa pasar yang semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat telah menyebabkan mereka tidak dapat membezakan sama ada bahasa itu merupakan bahasa Melayu yang betul atau tidak. Keadaan seperti ini sangat merunsingkan kerana ianya secara tidak langsung akan merosakkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Melayu.

           Oleh itu, saya berpendapat bahawa orang Melayu perlulah bertutur dalam bahasa Melayu standard ketika berkomunikasi dengan orang Cina ataupun India untuk mengelakkan berlakunya penyalahgunaan dalam bahasa. Selain itu, penggunaan kosa kata bahasa Melayu bagi orang Cina dan India di sekolah perlulah dipertingkatkan lagi agar mereka dapat menguasai bahasa Melayu dengan lebih baik pada masa akan datang.

Wednesday, 14 March 2012

Situasi 8 : Bahasa slanga


Bahasa slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya sering berubah. Bahasa slanga ini telah lama diamalkan, namun bahasa yang dihasilkan itu sering kali berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Secara realitinya, bahasa slanga ini digunakan oleh golongan remaja untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja. Setiap negeri mahupun tempat mempunyai bahasa slanga yang berlainan antara satu sama lain. Antara contoh bahasa slanga ialah lu, gua, senget, sengal, poyo, kerek, apa cer, doh, dan sebagainya.

            Pada hari ini, penggunaan bahasa slanga semakin berleluasa dalam kalangan remaja seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. Contohnya dalam sms, laman-laman sosial seperti facebook dan tweeter. Kadang kala saya tidak memahami bahasa  yang sering digunakan oleh rakan saya sewaktu berkomunikasi. Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan itu terlalu pelik dan sukar untuk difahami maksud yang cuba disampaikan.

            Oleh itu, saya berpendapat bahawa penggunaan bahasa slanga yang semakin berleluasa ini secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan lebih terancang. Penggunaan bahasa slanga ini mungkin akan terus diamalkan dalam kalangan remaja pada masa akan datang dan usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu untuk generasi seterusnya akan menjadi satu usaha yang sangat sukar pada masa akan datang.
 

Tuesday, 13 March 2012

Situasi 7 : Kepelbagaian bahasa


   Sesuatu perkataan itu dapat dilafazkan dengan menggunakan bahasa yang berbeza tetapi mempunyai maksud yang sama. Pada hari ini, situasi seperti ini dapat saya lihat sewaktu turun daripada bas yang mana setiap orang akan mengucapkan terima kasih kepada pemandu bas tersebut. Namun begitu, ucapan terima kasih itu sering kali diucapkan dalam pelbagai bahasa. Antaranya ialah terima kasih, xiexie, arigator, thank you, gamsahabnida, dan banyak lagi.


        Walaupun perkataan-perkataan ini disebut dalam bahasa yang berbeza, tetapi ianya tetap membawa maksud yang sama iaitu ucapan penghargaan yang diberikan kepada seseorang di atas jasanya. Keadaan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum ini secara tidak langsung memungkinkan penggunaan pelbagai bahasa ini berlaku. Hal ini demikian kerana setiap kaum mempunyai bahasanya yang tersendiri. Selain itu, kemajuan dalam bidang teknologi di samping peranan media massa yang memaparkan rancangan televisyen daripada serata dunia secara tidak langsung membolehkan seseorang itu memahami serta mempelajari pelbagai bahasa. Oleh itu, dapat saya simpulkan bahawa kepelbagaian bahasa ini secara tidak langsung telah menunjukkan betapa unik dan indahnya bahasa yang terdapat di serata dunia.

Monday, 12 March 2012

Situasi 6 : Bahasa rojak


       Kini penggunaan bahasa rojak dalam kehidupan seharian semakin jelas ketara. Penggunaan bahasa rojak sering kali saya dengar terutama ketika barada di dalam kelas, sewaktu menunggu bas dan sebagainya. Seperti yang kita ketahui, bahasa rojak merupakan percampuran bahasa yang digunakan semasa bertutur. Antara contoh bahasa rojak ialah 'I tak tahu menahu pasal event tu! Tak sorang pun invite kita orang' dan 'I dah lama tunggu u, mana u pergi?'. Percampuran pelbagai bahasa dalam pertuturan dilarang dalam hukum bahasa, namun ramai penutur bahasa Melayu yang sangat gemar dan selesa menggunakannya.

Selain itu, penyampai radio serta penulis lirik tidak terkecuali dari menggunakan bahasa rojak. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana golongan seperti ini sangat dekat dengan masyarakat disebabkan perkara yang disampaikan oleh mereka secara tidak langsung akan menjadi ikutan dalam masyarakat. 

          Menurut Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, penggunaan bahasa rojak dalam kalangan generasi muda ketika berkomunikasi terutama dalam majlis formal kian meruncing kerana penggunaan bahasa rojak secara tidak langsung akan mengikis identiti bahasa Melayu yang indah kerana masyarakat lebih kerap menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian. Oleh itu, saya berpendapat bahawa kita perlulah mengawal penggunaan bahasa rojak dalam kehidupan seharian kerana penggunaan bahasa Melayu yang betul sangat penting terutama dalam majlis-majlis formal. Jika kita terlalu asyik menggunakan bahasa rojak, maka secara tidak langsung akan merosakkan bahasa Melayu yang tersedia indah dan unik.

Friday, 9 March 2012

Situasi 5 : Dialek oh dialek


         Dialek ialah kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada bahasa baku yang digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Dialek dikatakan sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat dan pelat daerah. Antara contoh dialek ialah dialek Utara, dialek Perak, dialek Kelantan, dan sebagainya. Situasi yang melibatkan penggunaan dialek ini dapat saya lihat sewaktu kuliah berlangsung yang mana secara tidak sengaja pensyarah menggunakan dialek sehingga ada ketikanya saya tidak memahami perkataan yang dinyatakannya. Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan saya serta rakan-rakan lain yang bukan berasal dari negeri tersebut untuk memahami perkataan-perkataan tersebut.

               Terdapat sesetengah orang yang terlalu sukar untuk membuang atau mengurangkan dialek mereka sewaktu berbicara. Hal ini secara tidak langsung dapat kita lihat betapa teguhnya dialek itu sehingga terbawa-bawa sewaktu berkomunikasi. Oleh itu, saya berpendapat bahawa keadaan seperti ini tidak seharusnya berlaku terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung kerana ianya akan menjejaskan komunikasi yang sedang berlaku apabila pihak yang dilawan berbicara itu tidak menggunakan dialek yang sama.

Thursday, 8 March 2012

Situasi 4 : Makna yang sama


       Perkataan maaf dapat didefinisikan sebagai kerelaan melepaskan atau membebaskan seseorang daripada hukuman atau denda kerana sesuatu kesalahan (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2002:836). Perkataan maaf ini sering kali kita lafazkan apabila kita melakukan kesalahan sama ada kesalahan yang dilakukan itu disengajakan atau tidak. Namun begitu, dalam satu situasi apabila saya secara tidak sengaja telah melanggar seseorang, kecendorongan untuk saya memohon maaf bukanlah dengan mengungkap perkataan ‘maaf’ dalam bahasa Melayu tetapi lebih kepada ‘sorry’ dalam bahasa Inggeris. Keadaan yang mana kita lebih suka untuk mengungkapkan perkataan dalam bahasa Inggeris berlaku diluar kawalan kita sendiri. Saya berpendapat bahawa kecenderungan untuk mengungkapkan perkataan ‘sorry’ berbanding ‘maaf’ adalah disebabkan situasi kita yang berada dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang mana secara tidak langsung boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.  Hal ini mungkin disebabkan kita sering digalakkan untuk menggunakan bahasa Inggeris di samping penggunaan bahasa Melayu.

         Keadaan ini seiring dengan seruan kerajaan melalui dasar memartabatkan bahasa Melayu memperkukuhkan bahasa Inggeris. Oleh itu, tidak salah sekiranya kedua-dua bahasa ini digunakan untuk memohom maaf kerana ianya membawa maksud yang sama.

Wednesday, 7 March 2012

Situasi 3 : Bahasa itu indah

    Apabila saya membaca sebuah novel yang bertajuk 'Sayang 3 dalam 1', saya dapati bahawa penulisnya telah menerapkan atau menggunakan tiga bahasa dalam penulisannya iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, dan bahasa Korea. Saya berpendapat bahawa teknik penulisan seperti ini sangat unik kerana penulis telah menerapkan tiga bahasa yang berbeza dalam penghasilan novelnya ini. Selain itu, saya merasakan bahawa penggunaan pelbagai bahasa dalam penulisan ini secara tidak langsung dapat menarik minat para pembaca untuk membaca novel tersebut.

      Seperti yang kita sedia maklum, remaja kini terutamanya remaja perempuan sangat menggilai dan meminati muzik, drama, serta para pelakon dari negara tersebut sehingga terdapat segelintir daripada mereka boleh memahami dan bertutur dalam bahasa Korea. Oleh itu, kepelbagaian bahasa dalam penulisan secara tidak langsung akan menambahkan lagi pengetahuan seseorang itu dalam sesuatu bahasa di samping dapat mempelajari bahasa tersebut. 
Sebagai orang Melayu, kita tidak semestinya hanya tahu tentang bahasa Melayu semata-mata, tetapi kita juga haruslah mempelajari bahasa-bahasa yang terdapat di seluruh dunia. Oleh itu, pelajarilah pelbagai bahasa. Bak kata pepatah ‘kejarlah ilmu hingga ke negeri China’.

Tuesday, 6 March 2012

Situasi 2 : Bahasa jiwa bangsa


          Pelbagai perkataan yang kurang sopan akan mudah dilontarkan apabila emosi dengan mudahnya menguasai diri. Dalam keadaan diri yang kurang sabar akan menyebabkan seseorang dengan mudahnya akan memaki hamun orang lain dengan menggunakan perkataan yang kurang sopan tanpa memikirkan kesannya. Situasi ini saya alami sewaktu menaiki bas untuk pulang ke kolej kediaman setelah tamat kuliah. Pada waktu-waktu kemuncak, mahasiswa atau mahasiswi terpaksa berasak-asak atau berebut antara satu sama lain untuk memastikan dirinya dapat menaiki bas seterusnya pulang ke rumah dengan segera. 

          Oleh kerana pada waktu tersebut ramai mahasiswa atau mahasiswi yang telah tamat kuliah, maka secara tidak langsung mereka terpaksa berebut-rebut untuk cepat pulang ditambah lagi dengan cuaca yang panas. Sewaktu mereka berebut-rebut untuk menaiki bas, terdapat segelintir pelajar yang kurang sabar yang lebih suka mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak untuk didengari. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh sikap pelajar lain yang suka bertolak-tolakan tanpa memikirkan orang lain dan hanya mementingkan diri sendiri semata-mata. Antara perkataan yang sering kali disebut ialah ‘cepat sikit, boleh’, ‘sabar la’, ‘woi jangan tolak la,’ ‘lembabnya la’, dan ‘relax lu’. 

          
          Adakah perlu kita menggunakan bahasa yang kurang sopan apabila berada dalam keadaan marah? Rasanya tidak perlu kerana bagi sesetengah orang, perkataan-perkataan yang digunakan ini sangat tidak enak untuk didengari kerana sebagai mahasiswa atau mahasiswi kita haruslah bijak untuk mengawal emosi dan tidak terlalu mengikut perasaan sehingga menggunakan bahasa yang kurang sopan. Bersabarlah wahai teman kerana sabar itu indah.

Kawan-kawan, bahasa itukan indah kenapa perlu gunakan bahasa yang kurang sopan apabila kita kurang bersabar. Jika kita pandai mengawal emosi, maka semuanya dapat di atasi. Oleh itu, gunakanlah bahasa yang sopan untuk hidup selesa. Bahasa jiwa bangsa.


Monday, 5 March 2012

Situasi 1 : Sistem panggilan


           Kata panggilan bagi seseorang sering kali menjadi isu dalam kalangan kaum hawa. Hal ini demikian kerana saya tidak dapat menganggarkan umur seseorang berdasarkan raut wajah sehingga menyukarkan saya untuk memanggilnya sama ada ‘akak’, ‘adik’ ataupun ‘saya’.  Keadaan ini tidak dinafikan sering berlaku hampir setiap hari di mana-mana sahaja saya berada terutama ketika bertemu dengan orang yang baru dikenali.

              Situasi ini sering kali berlaku di awal semester yang mana para pelajar yang duduk di kolej kediaman akan mendapat rumah baru. Penggunaan kata penggilan dapat saya lihat dengan jelas apabila saya mula berkenalan dengan kawan-kawan yang duduk serumah serta sama bilik dengan saya. Setelah bertemu perkara kedua yang saya akan tanya sesudah nama ialah ‘sem berapa ya?’. Situasi ini berlaku apabila saya ingin mengetahui sama ada kita perlu memanggilnya dengan panggilan ‘akak’ atau tidak. Jika tidak kena pada tempatnya mungkin saya akan dianggap kurang sopan.


         Selain itu, setiap hari saya pasti akan terjumpa dengan mereka yang lebih suka menggunakan panggilan ‘saya’ dan ‘awak’ sewaktu berbicara walaupun mereka tahu yang saya lagi tua daripadanya. Adakah ini adil??? Bagi diri saya sendiri, saya tidak kisah mengenai perkara ini kerana keadaan ini secara tidak langsung akan membuatkan diri saya berasa lebih muda.