Friday, 9 March 2012

Situasi 5 : Dialek oh dialek


         Dialek ialah kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada bahasa baku yang digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian. Dialek dikatakan sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau kelas sosial yang berbeza daripada bahasa standard, loghat dan pelat daerah. Antara contoh dialek ialah dialek Utara, dialek Perak, dialek Kelantan, dan sebagainya. Situasi yang melibatkan penggunaan dialek ini dapat saya lihat sewaktu kuliah berlangsung yang mana secara tidak sengaja pensyarah menggunakan dialek sehingga ada ketikanya saya tidak memahami perkataan yang dinyatakannya. Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan saya serta rakan-rakan lain yang bukan berasal dari negeri tersebut untuk memahami perkataan-perkataan tersebut.

               Terdapat sesetengah orang yang terlalu sukar untuk membuang atau mengurangkan dialek mereka sewaktu berbicara. Hal ini secara tidak langsung dapat kita lihat betapa teguhnya dialek itu sehingga terbawa-bawa sewaktu berkomunikasi. Oleh itu, saya berpendapat bahawa keadaan seperti ini tidak seharusnya berlaku terutama ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung kerana ianya akan menjejaskan komunikasi yang sedang berlaku apabila pihak yang dilawan berbicara itu tidak menggunakan dialek yang sama.

No comments:

Post a Comment