Bahasa terbalik ialah bahasa yang menggunakan
perkataan berakas (terbalik) daripada maksud yang dikehendaki dan orang faham
akan maksudnya. Selain itu, terdapat juga pendapat yang menyatakan bahawa
bahasa terbalik ini sebagai bahasa yang mempunyai maksud yang bertentangan
dengan perkara yang hendak disampaikan. Sekiranya orang yang dilawan bercakap
tidak memahami maksud bahasa tersebut, mesej yang hendak disampaikan tidak
berjaya. Seperti yang kita ketahui, bahasa terbalik ini sering diungkapkan oleh
orang Melayu terutama bagi mereka yang duduk di kampung. Bahasa ini sering
digunakan bertujuan untuk melarang atau mencegah seseorang itu daripada
melakukan perkara yang dilarang. Perkara yang ingin disampaikan itu diungkapkan
secara terbalik agar seseorang itu berasa ragu-ragu atau tersindir dengan
perbuatan yang dilakukan
Bahasa
terbalik ini sering kali kita dengar terutama apabila emak kita cuba melarang
perkara yang ingin dilakukan tetapi bahasa larangan yang digunakan itu
seolah-olah menggalakkan kita untuk melakukan perkara tersebut. Secara
lumrahnya, apabila orang dewasa melarang kanak-kanak untuk tidak melakukan
perbuatan yang dilarang itu, mereka tetap berdegil dan terus melakukannya. Namun
begitu, apabila menggunakan bahasa terbalik, secara tidak langsung mereka akan
berhenti daripada melakukan perbuatan tersebut.
Contohnya
ialah apabila ibu bapa melarang anak-anak keluar dari rumah, mereka akan menyatakan
‘kenapa tak keluar hari ni?’ bukan ‘jangan keluar hari ni’ kerana apabila kita
menggunakan perkataan ‘jangan’ mereka tetap berdegil dan akan keluar. Namun,
apabila kita menggunakan perkataan yang seolah-olah menggalakkan mereka untuk keluar
dari rumah, secara tidak langsung mereka akan duduk sahaja di rumah. Begitu juga
apabila ibu bapa melarang kita untuk tidak lagi memanjat pokok apabila telah
jatuh dengan menyatakan ‘pergi la panjat lagi pokok tu.’
Oleh
itu, saya berpendapat bahawa orang Melayu ini sangat kaya dengan bahasanya
kerana berdasarkan bahasa yang digunakan itu dapat mengubah tingkah laku
seseorang. Jika kita melarang dengan cara yang baik tetapi tidak di ambil
peduli, maka dengan cara yang bertentangan akan dapat mengubah perbuatan
tersebut.
No comments:
Post a Comment