Wednesday, 14 March 2012

Situasi 8 : Bahasa slanga


Bahasa slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh kosa kata yang baru digubal dan sifatnya sering berubah. Bahasa slanga ini telah lama diamalkan, namun bahasa yang dihasilkan itu sering kali berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Secara realitinya, bahasa slanga ini digunakan oleh golongan remaja untuk berkomunikasi antara satu sama lain dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja. Setiap negeri mahupun tempat mempunyai bahasa slanga yang berlainan antara satu sama lain. Antara contoh bahasa slanga ialah lu, gua, senget, sengal, poyo, kerek, apa cer, doh, dan sebagainya.

            Pada hari ini, penggunaan bahasa slanga semakin berleluasa dalam kalangan remaja seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju. Contohnya dalam sms, laman-laman sosial seperti facebook dan tweeter. Kadang kala saya tidak memahami bahasa  yang sering digunakan oleh rakan saya sewaktu berkomunikasi. Hal ini demikian kerana bahasa yang digunakan itu terlalu pelik dan sukar untuk difahami maksud yang cuba disampaikan.

            Oleh itu, saya berpendapat bahawa penggunaan bahasa slanga yang semakin berleluasa ini secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan lebih terancang. Penggunaan bahasa slanga ini mungkin akan terus diamalkan dalam kalangan remaja pada masa akan datang dan usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu untuk generasi seterusnya akan menjadi satu usaha yang sangat sukar pada masa akan datang.
 

No comments:

Post a Comment