Wednesday 28 March 2012

Situasi 18 : Bahasa pertama

Bahasa yang pertama kali kita pelajari dalam hidup kita dikenali sebagai bahasa pertama. Bahasa pertama merupakan bahasa ibunda yang mula-mula dipelajari sejak kecil. Bahasa pertama juga merupakan bahasa yang kita dengar serta amalkan sehari-hari. Bahasa pertama ini sering kali digunakan untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan masyarakat setempat. Mereka yang menuturkan bahasa pertama ini dikenali sebagai penutur asli. Contohnya, masyarakat Melayu bahasa pertamanya ialah bahasa Melayu, manakala masyarakat Cina bahasa pertamanya ialah bahasa Cina dan begitu juga sebaliknya bagi masyarakat lain. Bahasa pertama ini diperoleh tanpa disedari atau dipelajari secara formal sebaliknya diperoleh dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat setempat mahupun ahli keluarga. Bahasa ibunda negara iaitu Malaysia ialah bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa lingua franca, bahasa rasmi, serta bahasa perpaduan.

               Sejak lahir lagi bayi telah mempunyai  satu kebolehan menggunakan bahasa. Walaupun ianya memulakan hidup tanpa bahasa tetapi pemerolehan bahasa itu berlaku sedikit demi sedikit dan berperingkat-peringkat mengikut perkembangan otaknya. Penguasaan bahasa oleh seseorang kanak-kanak secara tidak langsung dan dikatakan aktif berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 2-6 tahun. Pemerolehan bahasa pertama (B1) terjadi apabila kanak-kanak yang pada mulanya tidak mempunyai bahasa tetapi kini telah memperoleh satu bahasa. Pada masa pemerolehan bahasa ( B1 ), kanak-kanak  lebih terarah kepada fungsi komunikasi daripada bentuk bahasanya. Kanak-kanak memperoleh bahasa pertama secara semulajadi, pengaruh persekitaran serta pengaruh sosial. Kanak-kanak juga dikatakan memperoleh sesuatu bahasa tanpa disedari atau dipelajari sacara langsung tidak melalui pendidikan secara formal sebaliknya diperoleh dari bahasa yang dituturkan oleh ahli masyarakat.

               Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa bahasa pertama ini merupakan bahasa yang sudah dikuasai dengan begitu fasih oleh penutur asli. Kebanyakan penutur asli ini akan mempertahankan bahasa pertamanya dan kalau boleh ke mana sahaja dia berada dia akan cuba untuk menggunakan bahasa pertamanya. Mereka yang berbangga dengan bahasa pertamanya ini akan tertarik untuk memelihara budayanya serta lebih berminat pada bahasa umumnya dan hanya akan memperlajari bahasa lain jika perlu sahaja.


No comments:

Post a Comment